DI Malaysia, mengikut statistik, penggunaan air bagi setiap individu adalah sebanyak 225 liter, manakala Singapura (155 liter) dan Thailand sebanyak 90 liter sehari.
Kesan daripada kemarau yang berlaku di beberapa negeri di negara ini sekarang telah menyebabkan berlaku krisis air sehingga bekalan terpaksa dicatu di sesetengah tempat. Khabarnya, kebanyakan empangan telah susut airnya dan penduduk terpaksa menerima akibat daripada penyusutan tersebut. Banyak aktiviti harian terjejas. Bukan setakat kawasan kediaman, pejabat, malah premis makanan turut menerima tempiasnya.
Mulai semalam, dikatakan seramai 3.13 juta pengguna di 664 kawasan akan terjejas bekalan air peringkat tiga.
Pada minggu lepas, ada laporan mengatakan bahawa bekalan air akan dicatu sehingga akhir Mac jika hujan tidak turun di beberapa kawasan yang mengalami masalah air.
Lembah Klang mengalami krisis agak serius kerana ia merupakan kawasan tumpuan penduduk. Boleh dikatakan satu perempat penduduk Malaysia berada di Lembah Klang.
Semuanya ingin air sebagai pelengkap hidup seperti mandi, masak, basuh pakaian, siram pokok bunga, basuh kereta dan sebagainya. Itu belum lagi dikira keperluan bagi industri dan pelbagai perkhidmatan yang berkaitan dengan air.
Penggunaan air secara berhemah dapat mengurangkan krisis air. Kempen jimat air sudah lama disarankan kepada masyarakat tetapi sejauhmana kempen itu berkesan, sukar diukur kerana kita sebenarnya jarang-jarang mengalami krisis sebegini rupa.
Bagaimanapun, apa yang dapat dilihat, kita sebenarnya sudah lama membazir air oleh sebab tarifnya masih murah. Dan, apabila berlaku krisis seperti ini, baru kita hendak beringat semula tentang betapa pentingnya penjimatan air.
Pembaziran air berlaku di mana-mana. Di rumah dan di mana-mana sahaja dapat kita lihat betapa orang kita menjadikan air itu sebagai benda remeh. Di rumah, kadang-kadang paip tidak ditutup, paip bocor tidak dibuat aduan dan sebagainya.
Di masjid pun berlaku pembaziran. Ramai yang buka paip dahulu hampir setengah minit, kemudian baru hendak menyingsing lengan baju. Kalau seratus orang jemaah yang berbuat begitu, berapa banyak air yang terbazir begitu sahaja.
Keadaan berjerebu sekarang lebih memerlukan air. Cuaca panas membuatkan orang dahaga, badan panas melekit hendak mandi selalu. Hendak padam kebakaran di sana-sini pun memerlukan air. Air terawat semakin menyusut kerana kebanyakan empangan mengalami kekurangan air.
Penulis teringat semasa kecil-kecil dahulu membawalah ke awal tahun 80-an. Di Kedah dan Perlis, kemarau pada awal Januari sampai awal Mac merupakan perkara biasa. Tanah sawah merekah sampai boleh dijadikan tempat bermain bola.
Bagi penduduk kampung, krisis air hanya dirasakan apabila air perigi atau telaga kering. Cara menanganinya adalah dengan mengorek perigi supaya menjadi lebih dalam. Ketika tiada bekalan air paip, daripada telaga itulah air digunakan untuk pelbagai keperluan.
Apabila bekalan air paip sudah dinikmati oleh rata-rata penduduk, orang sekarang sudah tidak ada telaga lagi di rumah. Jika ada yang menyimpan telaga itu sebagai kenangan dan untuk ditunjuk kepada anak-anak cucu, air telaga itu sudah tidak boleh digunakan lagi kerana sudah tercemar. Kesan penggunaan baja dan racun di sawah sudah sampai ke telaga dan mendatangkan mudarat jika digunakannya.
Segala macam parit yang ada di pinggir-pinggir bandar dan pekan juga sudah tercemar akibat pembangunan. Maka, jika terdesak, air sungai, telaga, parit dan sebagainya tidak boleh digunakan untuk tujuan harian.
Dalam menangani krisis air, selain daripada pelbagai ikhtiar yang dilakukan seperti solat hajat mohon doa minta hujan dan proses pembenihan awan, penjimatan air tidak boleh dipandang remeh.
Langkah penjimatan air mestilah diamalkan tidak kira waktu, sama ada ketika krisis berlaku atau tidak.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140311/re_07/Langkah-penjimatan-tidak-perlu-tunggu-krisis-air#ixzz46qrsbUZ9
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 comments:
Post a Comment