Sumber air adalah antara anugerah yang sangat penting bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup, namun masalah kekurangan air bersih boleh mendatangkan pelbagai kesan ke atas hidupan termasuk haiwan serta flora dan fauna.
Umum sedia maklum bahawa negara kita memiliki banyak sumber air, namun ekoran pelbagai faktor seperti banjir, peningkatan suhu global, pencemaran sungai dan sebagainya menyebabkan krisis air timbul sehingga boleh mendatangkan mudarat kepada manusia.
Lebih membimbangkan, masih terdapat banyak kawasan di negara kita yang mengalami masalah bekalan air kronik apabila tidak mendapat sumber air bersih secara berterusan.
Justeru, melihat kepada kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh penduduk di beberapa kawasan di Malaysia, syarikat petroleum utama negara menerusi anak syarikatnya, Petronas Dagangan Berhad (Petronas) telah mengambil inisiatif untuk membantu menyediakan bekalan air bersih di kawasan yang terpilih.
Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran syarikat berkenaan dengan kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) itu merupakan program ketiga untuk tahun 2015 yang diadakan di Pekan, Pahang.
Kampung Runchang, Pekan, yang dihuni lebih 1,800 buah keluarga yang kebanyakkannya terdiri daripada orang asli khususnya suku Jakun itu menjadi pilihan kerana penduduk di kawasan itu mengalami masalah air dan sangat memerlukan bekalan air bersih.
Ketua Bahagian Perniagaan Runcit Petronas, Shaharuddin Muhammad Sidek berkata, program yang dinamakan Water For Life itu diadakan dengan objektif untuk menekankan kepentingan memelihara air bersih demi masa hadapan.
“Dalam masa yang sama, program ini juga bertujuan untuk mengingatkan orang ramai bahawa pemuliharaan air yang mampan hanya berjaya dilaksanakan jika masyarakat dan individu menggembleng tenaga memainkan peranan menyelamatkan sumber yang berharga ini.
“Program ini boleh dianggap sebagai satu kerjasama komuniti antara sukarelawan, kakitangan Petronas dan masyarakat yang terlibat dengan menyasarkan kampung yang mengalami masalah air bersih untuk kegunaan seharian,” katanya ketika ditemui di Pekan, Pahang baru-baru ini.
Menurut Shaharuddin, program tersebut merangkumi kerja membaik pulih sistem perpaipan di kampung tersebut dengan membina tangki bekalan air bersih untuk kegunaan seluruh penduduk kampung.
“Semua pihak telah berganding bahu dan berjaya memasang sistem perpaipan baharu dengan menggunakan sistem tenaga dari tangki utama untuk disalurkan kepada penduduk dengan bekalan air yang lebih baik.
“Jika penduduk menggunakan kemudahan sistem paip dan pam baharu ini dengan cara yang betul, mereka akan mendapat sumber air bersih yang boleh didapati dalam masa 24 jam,” katanya.
Dalam masa yang sama, Shahruddin turut menjelaskan bahawa lokasi tangki utama yang baharu dipasang diletakkan di kawasan dewan orang ramai.
Kemudian, dari tangki utama tersebut, pam seterusnya dipasang kepada dua tangki satelit yang akan disalurkan ke sekolah dan rumah-rumah penduduk Kampung Runchang.
“Sistem perpaipan baharu berkenaan yang telah menelan kos lebih RM70,000 menggunakan punca mata air bersih dari dalam tanah.
“Perigi sedalam 12 kaki telah digali dan sistem penapisan air semula jadi telah dibuat demi memastikan penduduk kampung ini mendapat nikmat air bersih yang sewajarnya,” ujarnya.
Dalam pada itu, Shahruddin berkata, Petronas telah menjalankan pelbagai program CSR untuk mendekatkan lagi organisasi itu kepada rakyat dan sebaliknya dan berharap agar masyarakat lebih memahami apa yang diperjuangkan oleh syarikat nasional tersebut.
Sementara itu, Ketua Pendidikan Alam Sekitar, MNS, I.S. Shanmugaraj berkata, pihaknya bekerjasama dengan Petronas kerana mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu untuk menyediakan kemudahan terbaik buat penduduk kampung.
“Kami mahu meningkatkan kesedaran orang ramai termasuk pelajar berkenaan kepentingan penggunaan air bersih dalam kehidupan seharian.
“Jika hari ini kita dapat lihat mengapa hal ini sangat penting, sebagai contoh keadaan sekolah yang serba kekurangan dari segi bekalan air.
“Pelajar-pelajar termasuk yang tinggal di asrama hanya bergantung kepada air hujan yang ditadah untuk mandi dan sebagainya, begitu juga dengan pihak kantin yang menggunakan air hujan untuk memasak.
“Sebab itu kami sangat menitik beratkan penggunaan bekalan air bersih kerana ia turut berkait rapat dengan kesihatan dan kesejahteraan hidup,” jelasnya.
Bagi Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK,) Ishak Mansor, apa yang diharapkan daripada usaha pihak Petronas itu dapat membantu untuk menampung bekalan air bersih di kampungnya untuk jangka masa yang panjang.
“Penduduk di sini berjumlah hampir 5,000 orang dan sudah pasti bekalan air tidak mencukupi kerana penduduk semakin bertambah saban tahun.
“Walaupun kampung ini mempunyai telaga, tetapi apabila tiba musim kemarau bekalan air tidak mencukupi.
“Ditambah lagi dengan pekerjaan utama kebanyakan penduduk di sini yang banyak terlibat dengan pertanian, sudah pasti bekalan air sangat diperlukan setiap waktu kerana ia berkait rapat dengan mata pencarian rezeki kami,” katanya.
Menurutnya, ini merupakan satu usaha murni daripada pihak Petronas dan MNS dan diharapkan semoga apa yang diusahakan ini dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk setelah sekian lama.
Sumber: http://www.utusan.com.my/sains-teknologi/sains/air-untuk-kehidupan-1.190846#sthash.4JvAHuML.dpuf
0 comments:
Post a Comment