AIR merupakan satu khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Kita perlukan air untuk menjalani kehidupan seharian kerana ia sumber penting dalam menjana pelbagai bidang ekonomi seperti pertanian, perindustrian, perikanan dan penjanaan sumber tenaga elektrik dan sebagainya. Seperti yang kita sedia maklum, hampir 3/4 daripada permukaan bumi adalah kawasan berair. Begitu juga dengan tubuh manusia di mana 70% daripada komposisi tubuh manusia adalah air.
Kajian menunjukkan bahawa manusia boleh hidup lebih seminggu tanpa makanan tetapi hanya beberapa hari tanpa air. Ini menggambarkan betapa pentingnya air dalam kehidupan kita. Negara kita juga telah mengalami beberapa krisis bekalan air yang serius. Antaranya krisis air pada tahun 1998 di Lembah Kelang di mana kira-kira 600,000 penduduk Selangor dan Kuala Lumpur telah terjejas.
Sebagai pengguna kita haruslah mengambil iktibar dan pengajaran daripada peristiwa ini dengan menyediakan satu pelan tindakan agar krisis seperti ini dapat dielakkan daripada berulang atau setidak-tidaknya mengurangkan impaknya. Antara tugas dan tanggungjawab pengguna yang paling utama ialah menjimatkan air. Kita sememangnya berhak untuk mendapatkan bekalan air yang terjamin keselamatannya serta menggunakan sebanyak mana yang kita ingini berdasarkan harga yang telah dibayar. Tetapi, sedarkah bahawa kita sebenarnya berurusniaga dengan alam.
Setiap liter air yang digunakan akan melalui proses kitaran semulajadi. Hari demi hari kita harus menyaksikan betapa pencemaran terhadap sumber alam ini masih berlaku. Adakah suatu hari nanti kita sanggup membayar harga yang begitu tinggi untuk mendapatkan bekalan air yang selamat dan bersih? Jawapannya pada diri kita sendiri. Oleh itu, langkah yang paling mudah boleh diambil oleh setiap pengguna ialah dengan menjimatkan penggunaan air. Apabila kita menyentuh isu penjimatan air, ia tidak akan lengkap tanpa kita melihat dan membincangkan tentang cabaran dan kesan jika terdapat masalah kepada bekalan air bersih kerana tiada sesiapa pun yang menjimatkannya.
Sehingga kini, pencemaran air terutamanya sumber utama air bagi kehidupan harian dan kegunaan industri iaitu sungai sudah terlalu kritikal kecederaannya. Di manakah punca dan siapa pula yang harus dipersalahkan. Pelbagai kempen kesedaran telah dilaksanakan tetapi hasilnya masih mendukacitakan. Dalam setiap persidangan sedunia atau di peringkat kebangsaan dan serantau mengenai alam sekitar mahupun bekalan air, pencemaran pastinya akan menjadi isu pokok. Namun sedemikian, biar sekerap atau seserius mana pun perbincangan dan persidangan itu diadakan, tetapi tanpa tindakan dan susulan yang sewajarnya, pencemaran sungai-sungai ini akan bertambah parah. Peranan pihak kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam Air usaha memelihara dan memulihara sungai-sungai dan sumber air yang lain sewajarnya diberi pujian. Tetapi tanpa kesedaran pengguna, sebagai pengguna utama alam sekitar yang mendagangkan air ini, semua usaha akan sia-sia umpama mencurahkan air ke daun keladi. Kesedaran pengguna sebenarnya merupakan aset terpenting untuk terus memastikan bahawa sumber ini akan terus wujud, bersih dan selamat serta dapat meneruskan khidmatnya kepada kehidupan sejagat. Yang pasti, ibu bapa harus memainkan peranan untuk mendidik anak-anak yang bakal menjadi pengguna alam ini agar sedar akan tanggungjawab mereka dan bersama-sama menjaga khazanah ini. Kesedaran pengguna di peringkat awal akan menjadi pemangkin kepada jaminan bahawa sumber alam ini akan terus selamat dan berdekatan. Ibu bapa pastinya akan tersenyum lega kerana warisan anak cucu mereka akan terus menikmati kehebatan sumber air ini dan meneruskan kemandiran tamadun dan kehidupan.
Seterusnya, pengguna harus sedar bahawa mereka juga mempunyai hak mengenai kualiti pembekalan air agar kita sentiasa mendapat perkhidmatan air yang benar-benar berkualiti, bersih dan selamat. Saban tahun, pelbagai isu mengenai kualiti pembekalan air yang semakin menurun dilaporkan. Pengguna seringkali menghadapi pelbagai masalah seperti mendapat bekalan air yang kotor, gangguan perkhidmatan yang terlalu kerap dan kadar bayaran perkhidmatan yang kadangkala terlalu tinggi dan tidak masuk akal. Malah ramai pengguna terpaksa berbelanja lebih dengan memasang sendiri penapis air berteknologi tinggi di premis masingmasing lantaran kualiti air yang begitu teruk. Selain itu, beberapa tempat di Semenanjung Malaysia pula turut mengalami masalah catuan bekalan air kerana hujan yang tidak menentu dan mempengaruhi kadar takungan air serta masalah penyaluran bekalan.
Satu perkara lagi yang perlu diberikan perhatian mendalam oleh semua pihak terutamanya pengguna ialah keselamatan dan keupayaan kawasan tadahan hujan serta alam sekitar yang bersih untuk memastikan sumber ini akan terus kekal dan berupaya menampung penambahan bilangan penduduk. Perkara ini perlu diberikan perhatian serius kerana sumber ini adalah asas utama kemandirian tamadun dan kehidupan. Tanpa usaha yang berterusan dan berkesan, suatu hari nanti pasti tiada lagi sumber air yang benar-benar bersih untuk kehidupan sejagat.
Mungkin suatu hari nanti air untuk kegunaan harian terpaksa melalui satu proses kompleks untuk dijadikan air yang benar-benar bersih dan selamat. Justeru itu, pengguna haruslah memainkan peranan utama dengan memupuk kesedaran agar kawasan tadahan hujan dan alam sekitar kita akan terus sesuai untuk kehidupan sejagat.
Oleh itu, semua pihak harus sedar tentang tanggungjawab dan tugas mereka mengenai penggunaan air. Pengguna terutamanya sebagai pengguna utama alam sekitar harus mempunyai kesedaran yang tinggi untuk terus memastikan bahawa generasi masa depan akan terus menikmati alam sekitar yang bersih seterusnya bekalan air yang selamat. Semoga air bersih akan terus 'hidup' di muka bumi ini bagi memastikan kemandirian tamadun kehidupan yang gemilang. - Terbitan Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL); PKPKL@hotmail.com kehidupan dengan kerjasama KPDNKK
Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/115197
0 comments:
Post a Comment