LATAR BELAKANG PUSAT KEGIATAN SUKAN AIR TANJUNG BUNGAH
Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bunga (PKSA) merupakan sebuah projek dibawah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang dan Jabatan Belia dan Sukan Pulau Pinang. Keputusan untuk mengadakan projek ini telah dicapai di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kebudayaan, Belia & Sukan pada 18 April 1984.
Sebuah Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Timur Laut telah dibentuk untuk membuat kajian dan mengenalpasti tapak yang sesuai untuk didirikan projek ini.
Pembinaan Pusat Kegiatan Sukan Air Pulau Pinang telah dimulakan pada awal tahun 1988 dengan kos pembinaan sebanyak RM63,152.50.
Pada 21 Ogos 1988, projek ini telah menjadi kenyataan selepas perasmian pembukaannya telah disempurnakan oleh Y.B. Dr. Sak Cheng Lum mewakili Y.A.B. Ketua Menteri Pulau Pinang di tapak asal (Lot 3610 dan 3611) dihadapan persisiran pantai berdekatan dengan Hotel Crown Prince, Pulau Pinang (kini dikenali sebagai Hotel Royal, Tanjung Bungah).
Pada tahun 1994, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah bersetuju terhadap keperluan untuk mendirikan pusat ini secara tetap bagi membolehkan Pusat ini beroperasi dengan lebih sistematik.
Persiapan tapak dan pembinaan sebuah bangunan pentadbiran ini dijangka akan menelan perbelanjaan sebanyak RM300,000.00. Pihak PKSA telahpun berjaya mengutip sebanyak RM100,000.00 untuk pembiayaan projek tersebut pada peringkat awal dan memohon bantuan tambahan dari Kerajaan Negeri untuk menyiapkan projek tersebut.
Pada tahun 1995, Mesyuarat MMK Negeri Pulau Pinang telah meluluskan peruntukan sebanyak RM 150,000.00 dalam Belanjawan Negeri tahun 1995 bagi tujuan mendirikan satu bangunan tetap diatas tapak tanah kerajaan berhadapan Hotel Mar Vista. RM60,000.00 daripada peruntukan pembinaan ini telah digunakan untuk pembelian peralatan pejabat dan lain-lain peralatan yang bersangkutan dengan pusat baru ini.
Pusat Kegiatan Sukan Air Pulau Pinang telah berpindah daripada tapak asal ke bangunan baru dikawasan pantai berhadapan Mar Vista di atas tanah rizab pantai Kerajaan Negeri (bersebelahan Lot 305 & 306) Tanjung Bungah pada bulan Julai 1996.
Pusat ini telahpun dirasmikan oleh T.Y.T. Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang pada 5 Januari 1997.
OBJEKTIF PENUBUHAN PUSAT KEGIATAN SUKAN AIR TANJUNG BUNGAH
Tujuan Pusat Kegiatan Sukan Air ini didirikan adalah untuk menyediakan kemudahan kepada Persatuan-Persatuan Sukan Air dalam negeri ini untuk mengadakan aktiviti-aktiviti sukan air kepada ahli-ahli mereka dan juga orang ramai. Disamping itu, Pusat Kegiatan Sukan Air ini juga bertujuan untuk memajukan lagi aktiviti sukan air dalam negeri Pulau Pinang.
AKTIVITI DAN PROGRAM DI PUSAT KEGIATAN SUKAN AIR TANJUNG BUNGAH
Aktiviti yang dijalankan di Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bungah adalah seperti berikut:
- Pembangunan Sukan Air Atlet-Atlet Negeri Pulau Pinang
- Pembangunan Sukan Air untuk Persatuan Sukan Air di Negeri Pulau Pinang
- Sukan Berkenu, Kayak, Optimist, Perahu Layar dan Perahu Naga
- Aktiviti Memancing
- Tempat Berkelah dan Acara Sosial
- Asrama Penginapan
- Pusat Bina Diri & Semangat Motivasi
- Bola Tampar Pantai
- Futsal Pantai
- Ceramah dan Kursus
- BBQ Pit
Selain daripada penggunaan oleh masyarakat setempat dan masyarakat Pulau Pinang, Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bungah juga menjadi pusat utama untuk pembangunan sukan air oleh atlet-atlet Negeri Pulau Pinang melibatkan acara pelayaran seperti Optimist, Kayak dan Kenu. Sebuah gelanggang bola tampar pantai juga disediakan kepada Persatuan Bola Tampar Pulau Pinang untuk pelaksanaan program pembangunan dan latihan sukan bola tampar pantai.
Selain itu, pihak Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang turut menjadikan Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bungah ini sebagai lokasi untuk menjalankan kem-kem motivasi bagi atlet-atlet negeri Pulau Pinang mengikut sukan-sukan yang berkaitan.
Disamping itu, lokasi ini juga menjadi pilihan alternatif yang kerap digunapakai oleh skuad kebangsaan bagi menjalankan kem motivasi untuk atlet-atlet negara dibawah Majlis Sukan Negara Malaysia ataupun Persatuan Sukan Kebangsaan seperti Tenpin Bowling dan Skuad Hoki Lelaki Negara.
SYARAT PENGGUNAAN
- Semua makanan yang disajikan di perkarangan Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bungah perlulah HALAL dan diperolehi daripada pengusaha makanan yang bertauliah. Meja hidang untuk kegunaan pengusaha makanan adalah dibawah tanggungjawab pengusaha tersebut dan bukannya dibawah PKSA.
- Minuman Beralkohol adalah dilarang sama sekali dibawa masuk ke perkarangan Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bungah.
- Bunyi Muzik dan sistem siaraya perlulah ditetapkan pada paras bunyi yang bersesuaian dan wajib dihentikan siarannya pada jam 10.30 malam agar tidak mengganggu ketenteraman awam sekitar perkarangan PKSA, dan Tanjung Bungah.
- Keselamatan para pengguna/penyewa/pelatih/pelawat dan harta benda pemilik berada dibawah tanggungan pengguna/penyewa/pelatih/pelawat masing-masing. Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kemalangan/ kecederaan /kehilangan yang berlaku ke atas mana-mana individu sepanjang tempoh penggunaan/penyewaan melibatkan penggunaan peralatan sukan air dan lain-lain kemudahan-kemudahan yang disediakan di PKSA.
- Penyelamat Kelemasan atau para petugas Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bungah berhak menghentikan sebarang kegiatan/aktiviti di lautan pada bila-bila masa tertakluk kepada keadaan cuaca, ombak, keadaan ketampakan atau tiupan angin mengikut amaran yang diperolehi/dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia untuk tujuan keselamatan para pengguna/penyewa/pelatih/pelawat.
TEMPAHAN / PENGGUNAAN
Segala urusan rasmi berhubung pengurusan PKSA perlu dirujuk secara terus kepada :-
Pengarah
Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang
Jalan Sultan Azlan Shah
11700 Batu Uban, Pulau Pinang
No. Tel : 04-6593713/14/15
No. Faks : 04-6595996
Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang
Jalan Sultan Azlan Shah
11700 Batu Uban, Pulau Pinang
No. Tel : 04-6593713/14/15
No. Faks : 04-6595996
Sumber : http://msnpp.penang.gov.my/index.php/ms-MY/direktori-msnpp-2014/pusat-kegiatan-sukan-air
0 comments:
Post a Comment