Air adalah satu daripada sumber alam yang utama dalam kehidupan manusia. Tanpa air, banyak perkara tidak dapat dilakukan untuk kelancaran aktiviti harian, namun dalam masa sama air boleh mengundang bahaya jika tiada pemantauan dilakukan.
Air sentiasa menjadi agenda utama dalam usaha melestarikan alam. Pada teorinya, sumber serta kebersihan air perlu dijaga supaya dapat disalurkan kepada yang sepatutnya.
Namun realitinya, ramai dalam kalangan kita yang tidak peduli dengan aspek kebersihan lalu berlaku kemerosotan punca air akibat pencemaran dan tabiat buruk kita sendiri.
Bagi penduduk bandar, air bukan masalah utama kerana setiap rumah dilengkapi tangki dan sistem perpaipan yang teratur.
Di kawasan luar bandar pula masih ramai yang menggunakan kaedah lama untuk mendapatkan air seperti mendapatkan sumber di perigi dan sungai, tetapi kini kebanyakannya memperoleh bekalan air bersih secara terus ke rumah.
Berdasarkan laporan Bernama tahun lalu, rakyat Malaysia masih menggunakan purata 220 hingga 250 liter air atau anggaran 160 botol isipadu 1.5 liter seorang pada setiap hari meskipun beberapa negeri mengalami krisis air dan tindakan catuan.
Daripada 220 hingga 250 liter itu, hanya 30 peratus digunakan secara terus untuk memasak dan sumber minuman. Selebihnya? Lebih banyak dibazirkan seperti membasuh kenderaan serta peralatan, kebocoran paip dan sebagainya.
Apa yang menjadi perhatian Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar Malaysia (MENGO) ketika ini ialah penggunaan air yang optimum di rumah kebajikan khususnya yang menempatkan kanak-kanak dan warga emas golongan kelainan upaya.
Bergandingan dengan Laneige Malaysia, RM60,000 kini disasarkan untuk membantu mengurangkan kos penggunaan air, sekali gus mengehadkan pembaziran air bersih menerusi kempen ‘Waterful Sharing’ 2015.
Seperti tahun sebelumnya, setiap RM10 daripada hasil jualan Water Sleeping Mask Laneige akan disalurkan ke dana terbabit sebelum digunakan untuk perbelanjaan memasang sistem penapisan air hujan di rumah kebajikan terpilih.
Enam rumah kebajikan akan menerima bantuan itu iaitu Rumah KIDS, Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah, Rumah Bakti, Rumah Kebajikan Anbu Illam, Rumah Ehsan Rawang dan Rainbow Home.
Kempen ini bertujuan membantu rumah kebajikan terbabit memperoleh air daripada takungan air hujan yang ditapis bagi mengurangkan peningkatan bil bulanan.
Dengan air itu boleh digunakan untuk aktiviti membersihkan kawasan, menyiram bunga dan sebagainya, asalkan bukan untuk diminum, memasak serta mandi.
Sebagai tambahan, sistem penapisan air hujan ini direka khas untuk rumah kebajikan terbabit supaya aktiviti harian tidak terjejas ketika berlakunya krisis air.
“Pengalaman dan kepakaran MENGO banyak membantu kami menjayakan kempen ini dan Laneige harap dapat berterusan meningkatkan kesedaran mengenai isu air ini.
“Tahun lalu kami berjaya memasang sistem penapisan air hujan di tiga rumah kebajikan dan kali ini jumlahnya berganda agar lebih ramai yang mendapat manfaatnya,” ujar Pengurus Jenama Laneige Malaysia, Foong Winnie.
Pertandingan mengenai penjimatan air turut dilakukan untuk enam rumah kebajikan itu dalam usaha memperkasakan penghuninya mengenai kepentingan air bersih.
Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah muncul juara dengan idea dan rekaan model bekas saluran penapisan air hujan yang digunakan untuk menyiram tanaman.
Untuk menyokong kempen ini, Laneige melancarkan krim Water Sleeping Mask (20 ml) baru bersama patung beruang edisi terhad bermula 27 April ini.
Sebanyak RM10 daripada jualan krim itu disalurkan kepada kempen ini yang boleh didapati di cawangan Laneige seluruh negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen ini, boleh layari www.laneigewaterfulcampaign.com.my,http://facebook.com/laneigemalaysia atau www.mengo.org.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 April 2015 @ 1:17 PM
0 comments:
Post a Comment