AIR anugerah Allah SWT yang sangat penting terhadap kehidupan sejagat. Tanpa sumber air mencukupi adalah mustahil bagi manusia untuk meneruskan kelangsungan hidup. Penegasan berhubung kepentingan sumber air banyak dinukilkan dalam al-Quran. Antaranya firman Allah bermaksud: “Dan Dia menurunkan air hujan dari langit, kemudian Dia mengeluarkan dengan air hujan itu pelbagai jenis buah-buahan yang menjadi rezeki untukmu. Dia juga telah menundukkan bahtera bagimu supaya bahtera itu belayar di lautan dengan kehendak-Nya, dan Dia telah pula menundukkan sungai-sungai bagimu.” (Surah Ibrahim, ayat 32)
Secara umumnya negara kita mempunyai banyak sumber air. Namun, dewasa ini bekalan sumber air bersih semakin berkurangan sedangkan permintaan terhadapnya semakin meningkat selari peningkatan jumlah populasi penduduk. Ironinya kita sering terlupa elemen tidak mensyukuri nikmat yang Allah berikan adalah faktor utama kegagalan dalam menangani krisis air.
Acap kali kita sedar betapa berharganya walau setitis apabila terputus bekalan air. Keperitan hidup tanpa bekalan air paip turut menjadikan kita lebih bersemangat untuk berjimat-cermat, tetapi kita sering terlupa untuk mengotakan janji apabila air mula mengalir, kita kembali dengan tabiat lama, mengguna air secara berlebihan dan membazir.
Buktinya, piawaian antarabangsa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan kadar penggunaan air setiap individu adalah 165 liter setiap hari. Namun, kajian terbaru menunjukkan setiap rakyat Malaysia menggunakan kira-kira 310 liter air sehari. Jadi, secara purata rakyat Malaysia terlebih menggunakan air 145 liter sehari. Sebagai perbandingan, seorang penduduk Afrika purata menggunakan air hanya 50 liter seorang sehari, penduduk India 100 liter sehari, manakala Singapura 150 liter sehari. Apakah faktor pendorong pembaziran melampau ini ?…
United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) telah meramalkan bahawa pada tahun 2025, sebanyak 1,800 juta warga dunia terpaksa hidup dalam keadaan ketiadaan air, malahan hampir dua pertiga daripada penduduk dunia akan menghadapi masalah kekurangan air.
Antara langkah yang disarankan bagi menangani masalah ini adalah dari sudut pendekatan pengurusan permintaan air serta pendidikan kepada para pengguna mengenai penjimatan air. Selain kerajaan dan badan pengurusan, pengguna juga perlu memainkan peranan penting dalam sektor memelihara dan memulihara sumber air serta mengurangkan pembaziran air.
Tanpa kerjasama yang jitu dari semua pihak, masalah ini tidak akan dapat diatasi sampai bila-bila seterusnya merugikan dan menyukarkan keadaan pada masa akan datang. Pelbagai cara dilakukan bagi meningkatkan kesedaran pengguna seperti menjadikan mandatori untuk menjimatkan air atau mengenakan denda kepada mereka yang membuat pembaziran air.
Kerajaan dan badan pengurusan juga telah membantu sedikit sebanyak dalam pemberian subsidi melalui bayaran untuk tarif air yang terlalu rendah sebagai usaha menggalakkan pelestarian air oleh pengguna. Walaubagaimanapun, sikap endah serta tidak acuh pengguna telah mensia-siakan usaha dan pendidikan mengenai isu ini, ibarat mencurah air kedaun keladi.
Penggunaan air domestik harian secara berhemah oleh setiap penduduk adalah sangat penting untuk menjamin kemampanan bekalan sumber air yang berterusan pada masa akan datang. Penggunaan jumlah isipadu air yang rendah adalah mampan. Secara kesimpulannya, menjadi tanggungjawab kita bersama agar isu krisis air yang melanda negara kita ini sentiasa dapat dielakkan. Semua pihak perlu mengambil bahagian dan berganding bahu agar isu ini dapat diatasi.
Disediakan Oleh :
Hamidah Binti Shahir, Bahagian Perancangan Wilayah
Sumber :http://smp.townplan.gov.my/?p=5608
0 comments:
Post a Comment