AIR UNTUK MANUSIA, AIR OLEH MANUSIA

PERTANDINGAN PENGGUNAAN 2016 SEMPENA HARI PENGGUNA MALAYSIA

AIR UNTUK MANUSIA, AIR OLEH MANUSIA

PERTANDINGAN PENGGUNAAN 2016 SEMPENA HARI PENGGUNA MALAYSIA

AIR UNTUK MANUSIA, AIR OLEH MANUSIA

PERTANDINGAN PENGGUNAAN 2016 SEMPENA HARI PENGGUNA MALAYSIA

Pages

DI TAHAP MANA SISTEM PEMBENTUNGAN KITA ?

Loji Olahan Kumbahan Serantau IWK Bunus Jalan Chan Chin Mooi,

APABILA disebut perkhidmatan pembetungan dan pengurusan sisa kum­bahan, mungkin ra­mai di luar sana yang masih memandang remeh tentang kepentingan perkhidmatan pengurusan sisa kumbahan walaupun ia setanding perkhidmatan utiliti lain seperti bekalan air dan tenaga elektrik. Mungkin disebabkan tidak ramai yang mahu mengambil tahu ke mana sisa kumbahan yang dilepaskan dari rumah masing-masing sama ada diproses dan dirawat atau terus dihanyutkan ke laut untuk bersebati dengan alam.

Menyentuh mengenai pengurus­an sisa kumbahan dan penyediaan sistem pembetungan, pasti nama Indah Water Konsortium Sdn. Bhd, IWK terus terlintas di benak fikiran.
Selepas bertapak selama 20 tahun, IWK terus komited memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Di sebalik kos operasi yang tinggi, IWK tidak pernah mengeluh dan sentiasa membuktikan ia adalah yang terbaik bagi pengurusan sisa kumbahan dan penyediaan sistem pembetungan di negara ini.
IWK diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan pada tahun 2000 de­ngan model perniagaan yang bukan berasaskan keuntungan. Ini kerana, perkhidmatan pembetungan dan pengurusan sisa kumbahan sangat penting dalam memberikan kehidupan yang selesa kepada rakyat. Rakyat selaku pengguna tidak perlu memeningkan kepala untuk berfikir menguruskan sisa buangan dari kediaman mereka kerana semuanya diuruskan oleh IWK.
IWK adalah pihak yang menguruskan air kumbahan hasil aktiviti buang air kecil atau besar, mandian serta aktiviti harian yang lazim dilakukan di rumah. Kehidupan rakyat menjadi sangat mudah apabila sisa buangan terus disalur ke loji rawatan.
IWK kini menguruskan 6,183 loji rawatan kumbahan yang dihubungkan sekitar 16,969 kilometer saliran paip pembetungan. Di loji-loji rawat­an IWK ini, sisa kumbahan diproses dan dijernihkan sehingga menjadi air yang tidak mencemarkan alam sekitar sebelum dialirkan ke sungai. Peranan IWK cukup pen­ting bukan sahaja kepada kehidup­an rakyat tetapi juga melindungi alam sekitar dan bekalan air bersih. Semua kerja dilakukan IWK perlu menepati piawaian Jabatan Alam Sekitar dan ini bermakna, kerja dan proses membersihkan sisa kumbah­an pengguna bukan satu kerja mudah dan murah. Pelbagai teknologi terlibat di dalam proses berkenaan. Kos merawat sisa kumbahan sebenarnya lebih mahal daripada proses rawatan di loji air minuman.
Bayangkan, pelbagai rupa dan bau sisa kumbahan yang sampai di loji-loji terpaksa diproses menggunakan pelbagai kaedah sebelum lulus untuk pelepasan. Perkara ini sebenarnya yang tidak diketahui oleh sebahagian besar pengguna. Proses berkenaan menelan kos yang tinggi.
Jika diperhatikan, pertumbuhan kawasan kediaman baru di negara ini sungguh menggalakkan yang boleh dilihat sebagai penanda aras keadaan ekonomi negara yang baik. Peningkatan kawasan kediaman ini juga menandakan penduduk di Malaysia ini sedang berkembang. Perkara itu bagi IWK adalah sesuatu yang perlu diberi fokus kerana ia bermakna IWK perlu meningkatkan keupayaan loji-loji rawatannya. Tidak lain tidak bukan, memastikan kehidupan rakyat terus selesa.
Perolehan teknologi bagi IWK adalah sesuatu perkara yang tidak dapat dielakkan walaupun ia melibatkan kos tinggi. Di kawasan bandar, Sistem Bersambung dan Tangki Septik Individu yang jumlahnya melebihi sejuta tangki digunakan. IWK berfungsi sebagai pihak yang bertanggungjawab merancang dan merasionalisasikan kemudahan-kemudahan pembetung­an awam supaya wujud satu sistem lebih sistematik dan moden dalam usaha melindungi kesihatan rakyat dan alam sekitar.
Sistem pengurusan sisa kumbahan diwujudkan menerusi rangkaian paip-paip pembetungan yang membawa sisa buangan dari kediam­an ke loji rawatan sekunder yang moden. Di atas kertas, usaha ini bukan perkara mudah dan murah. IWK memerlukan sokongan padu rakyat khusus­nya pengguna.
Usaha meningkatkan lagi keberkesanan pengurusan sisa kumbahan adalah fokus berterusan IWK. Selepas 20 tahun, pastinya pelbagai perubah­an telah dibuat bagi memastikan ke­selesaan rakyat menerusi peningkatan pengurusan kumbahan domestik.
Pada masa depan, sistem olahan kumbahan akan berubah kepada loji-loji mekanikal seperti Pengudaraan Berlanjutan, EA, Parit Pengoksidaan, OD, Penyentuh Biologi Berputar, RBC, Reaktor Kelompok Penjujukan, SBR dan Penapis Cucuran. Ini adalah teknologi terkini yang lebih berkesan bagi pengurusan sisa kumbahan.
Dengan demikian, perkhidmatan yang disediakan IWK ini perlu dihargai. Bagaimanakah cara paling mudah menunjukkan penghargaan kita? Pas­tinya dengan menjelaskan bil perkhidmatan IWK yang kini paling murah jika dibandingkan dengan bil utiliti lain.
Kadar yang dikenakan sejak 20 tahun lalu tidak pernah dinaikkan iaitu 27 sen sehari atau RM6 hingga RM8 sebulan. Jika dibandingkan dengan usaha merawat sisa kumbahan, kos 27 sen sehari itu mungkin tidak lagi relevan. Itu tidak dicampur dengan perkhidmatan tambahan lain apabila berlaku masalah lain seperti paip pembetungan yang tersumbat disebabkan sikap segelintir yang membuang sampah sarap ke dalam aliran air kumbahan.
Kos penyelenggaraan juga adalah antara perkara yang membebankan IWK. Rangkaian paip pembetungan perlu dipastikan bersih daripada sampah sarap yang menyebabkan berlakunya limpahan air kumbahan. Dan, jika ia berlaku, pengguna yang pertama sekali akan merungut kerana masalah pencemaran dan bau. Adilkah kita terhadap IWK?
Baru-baru ini, Suruhanjaya Per­khid­matan Air Negara, SPAN menyelidik penstrukturan semula tarif perkhidmatan pembetungan kerana syarikat pembetungan nasional itu masih tidak memperoleh kos operasi disebabkan ada pengguna yang tidak menjelaskan bil perkhidmatan. Selain itu, IWK dinasihati mencari jalan terbaik supaya bil perkhidmatan dijelaskan sepenuhnya oleh pengguna. Gesaan itu dilihat sangat wajar jika dibandingkan perkhidmatan berkualiti disediakan IWK dan jumlah caj yang dikenakan yang sangat rendah.
Selain itu, IWK juga disaran mempercepatkan pelaksanaan penggabungan bil perkhidmatan pembetungan dan bil bekalan air. Ia sangat rasional kerana caj yang dikenakan bergantung kepada penggunaan air isi rumah. Air kumbahan ini yang dirawat dan diproses oleh IWK. Pada masa sekarang, bil dikenakan tidak menggambarkan penggunaan air isi rumah.
Penggunaan air sesebuah premis wajar dijadikan asas kepada caj perkhidmatan pembetungan yang disediakan IWK. Mana-mana pengguna yang tidak menjelaskan bil pembetungan akan mengalami gang­guan bekalan air kerana dipotong. Perkara itu sebenarnya termaktub di dalam Akta Industri Perkhidmatan Air tetapi belum dilaksana kerana penggabungan bil pembetungan dan bil air masih belum direalisasikan.
Dianggarkan, setiap individu menggunakan 250 liter air bagi aktiviti hariannya di dalam sebuah rumah. Daripada jumlah itu, sebahagian besar dikeluarkan dalam bentuk air sisa yang disalurkan ke dalam sistem pembetungan diselenggara oleh IWK. Sifir mudah ini, membolehkan pengguna membayangkan betapa pentingnya tugas IWK memastikan keselesaan rakyat. Proses merawat pula bukan murah dan perlu menepati pelbagai piawaian.
Begitu besar cabaran yang dihadapi IWK. Sisa kumbahan tidak boleh dibuang sesuka hati tanpa rawatan kerana ia membahayakan kesihatan dan memberi kesan besar kepada alam sekitar serta sumber air. Selain bau busuk, ia juga mengandungi bakteria yang boleh mendedahkan kita kepada pelbagai penyakit bawaan air.

Dalam pada itu, IWK juga sedang giat mengenal pasti dan merancang pembinaan loji berpusat yang lebih besar yang membolehkan penutupan loji-loji kecil yang dibina pemaju perumahan. Ia adalah satu kelegaan kepada penduduk yang saban hari berdepan bau kurang menyenangkan apabila kedudukan loji kumbahan terletak berhampiran kawasan penempatan penduduk. Ini adalah antara wawasan IWK yang perlu diberi pujian dalam menyediakan persekitaran yang bebas pencemaran.

Mungkin ada yang berhujah, ia adalah tugas IWK tetapi bagaimana pula dengan tanggungjawab menjelaskan bil selepas perkhidmatan terbaik diberikan oleh IWK?
Setakat ini , bil tertunggak pengguna perkhidmatan IWK mencecah ratusan juta. Jumlah kos operasi rawatan kumbahan sebenarnya melebihi jumlah pembayaran yang dibuat oleh pengguna menyebabkan kos operasi IWK lebih tinggi daripada pendapatan sepatutnya.
Bagi menangani isu pembayaran bil, IWK kini giat mempelbagaikan kaedah pembayaran bil antaranya menerusi pembayaran online dan pembayaran berkala menggunakan kad kredit. Berdasarkan fakta ini, tidak boleh tidak, IWK perlu menyemak semula kadar caj yang dikenakan selari dengan pertumbuhan ekonomi dan tuntutan semasa.

Memberi perkhidmatan kepada lebih 20 juta penduduk sebenarnya memerlukan penglibatan semua pihak kerana ia bukan satu tugas yang mudah. Pada peringkat isi rumah, komitmen menjelaskan bil perkhidmatan pembentungan sangat penting, Manakala, kerjasama agensi-agensi berkaitan dalam mendapatkan teknologi terkini bagi pengurusan sisa kumbahan juga perlu ditingkatkan. Semuanya bagi membolehkan generasi akan datang menikmati dan mewarisi persekitaran yang bersih selain melindungi sumber bekalan air. Dan, selepas 20 tahun, sistem pembetungan dan pengurusan sisa kumbahan di negara kita sebenarnya setanding negara maju.

IWK adalah antara syarikat pembetungan yang sentiasa menjadi rujukan pada peringkat antarabangsa apabila menyentuh soal pengurusan sisa kumbahan. IWK berjaya melaksanakan fungsinya sebagai syarikat pembetungan nasional.

- Sumber: http://m.utusan.com.my/rencana/di-tahap-mana-sistem-pembetungan-kita-1.35434#sthash.2ZXfd54B.dpuf

0 comments:

Post a Comment

SKALA PH AIR

SKALA PH AIR