KLUANG - Kira-kira 110 kediaman di Kampung Yap Tau Sah di sini mempunyai perigi untuk menyalurkan bekalan air bersih selain menerima bekalan air daripada Syarikat Air Johor Holdings (SAJH).

Ketua kampung, Liew Kwang Hee berkata, rata-rata rumah penduduk di kawasan itu berusia ratusan tahun dan ia merupakan kampung tradisi masyarakat Cina di daerah ini.

Beliau berkata, ketika dahulu perigi merupakan satu kemudahan yang perlu ada bagi mendapatkan air untuk kegunaan harian.

“Tetapi kini perigi tidak digunakan segelintir penduduk di kawasan lain namun di Kampung Yap Tau Sah air perigi masih digunakan terutama untuk minum dan memasak.

“Air perigi menjadi keutamaan terutama ketika musim krisis air kerana kawasan ini antara kawasan tinggi yang sering mengalami masalah gangguan air,” katanya kepada Sinar Harian.

Kwong Hee berkata, kediamannya turut mempunyai perigi tetapi ia bergantung harap kepada kekerapan hujan turun bagi mengisi jumlah air di dalamnya.

Beliau berkata, sumber air perigi itu amat terhad berikutan usianya sudah terlalu lama sehingga air yang dihasilkan tidak banyak terutama ketika musim panas berpanjang.

Penduduk Kampung Yap Tau Sah, Chong San Lian,79, berkata, dia menggunakan dua sumber bekalan air iaitu bekalan air bersih dari SAJ dan bekalan air perigi.

Katanya, air perigi berbeza kerana sumbernya merupakan air mata air yang dihasilkan di bawah tanah.

“Semakin dalam perigi itu, semakin banyak air perigi yang dihasilkan tetapi kini sumbernya semakin berkurangan mengikut kawasan. Ada kawasan perumahan yang berada di kawasan yang tinggi agak sukar mendapat air perigi dan ada yang perigi mereka kering.

“Saya lebih gemar menggunakan air perigi kerana airnya sejuk dan tiada klorin tetapi saya tidaklah guna sepenuhnya air perigi untuk membasuh baju dan mandi saya gunakan air SAJ,” katanya.

San Lian berkata, perigi yang terdapat di kediamannya itu sudah berusia lebih 50 tahun sejak zaman datuknya dan terus diwarisi ke zaman anaknya.

Katanya, perigi yang terdapat di rumahnya itu akan dijaga dan dipelihara kerana itu merupakan warisan tinggalan nenek moyangnya.

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/ultras/liga-malaysia/masih-gunakan-air-perigi-1.418955