AIR yang ditapis boleh terus digunakan untuk kegunaan seharian.
Jika keadaan kemarau yang berpanjangan seperti yang dialami sebelum ini melanda apakah tindakan alternatif yang boleh kita lakukan?.
Akibat cuaca panas yang berpanjangan tersebut juga menyebabkan air di empangan menyusut sehingga ke paras kritikal membawa kepada pendekatan mencatu air terpaksa dilakukan.
Biarpun tindakan tersebut bukanlah penyelesaian yang terbaik kerana catuan air akan merencatkan aktiviti seharian dan lebih parah menyebabkan kerugian di pihak industri kerana terpaksa menutup operasi ekoran ketiadaan air.
Lebih kritikal, penduduk yang tinggal di kawasan bandar berikutan terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bekalan air daripada paip rumah, tiada alternatif seperti sungai, tasik dan telaga yang benar-benar bersih untuk kegunaan seharian.
Bagi penduduk di kawasan luar bandar, harapan masih ada sekiranya catuan air dilaksanakan kerana kawasan sekitar masih tidak tercemar dan antara alternatif paling popular adalah telaga.
Namun, telaga membekalkan air mentah yang tidak terawat, justeru pelbagai enapan dan kandungan mineral berbahaya terdapat di dalamnya.
Menurut pencipta muda, Muhd. Muiz Zulkifli, pengunaan air bawah tanah atau air telaga amat membantu tatkala krisis air melanda.
Ramai dalam kalangan kita amat arif dalam membina telaga untuk mendapatkan air untuk kegunaan seharian seperti mencuci, mandi malah untuk diminum.
Tetapi air telaga kebiasaannya mengandungi bahan-bahan merbahaya untuk kesihatan seperti kandungan ferum (besi) yang mana boleh menyebabkan kita sakit perut apabila air tersebut diminum," katanya ketika ditemui di kediamannya di Sungai Choh, Rawang, Selangor baru-baru ini.
Muhd. Muiz yang juga anak kepada pereka cipta terkenal, Zulkifli Haron menyatakan satu sistem penapisan khas telah dibina olehnya untuk mengatasi masalah tersebut.
Sistem yang dikenali sebagai penapis ferum air perigi tersebut amat ringkas namun praktikal untuk dibangunkan sebagai sumber air alternatif apabila berlakunya krisis kekurangan air.
Jelas Muhd. Muiz, sistem tersebut hanya terdiri tentunya sumber air iaitu perigi yang digali sedalam 20 kaki, pam air perigi, pam air untuk kegunaan akuarium, sebuah mesin udara, tiga buah tong, paip air (PVC) pasir dan cecincin bio (bio ring) untuk kegunaan menapis air.
Jika kita perhatikan air perigi yang tidak ditapis akan meninggalkan kesan karat pada lantai rumah mahupun pakaian yang dibasuh.
Itu merupakan petanda terdapatnya kandungan ferum yang tinggi dalam air," katanya.
Untuk mengatasi masalah tersebut, Muhd. Faiz mengaplikasikan pengunaan gelombang udara (oksigenated) untuk mengasingkan kandungan ferum daripada air perigi.
Langkah tersebut adalah amat mudah, bermula daripada air perigi yang disedut akan disalurkan ke dalam tong pertama yang akan diletakkan tiub udara untuk tujuan pengudaraan dan penghasilan buih seperti meletakkan tiub oksigen untuk akuarium ikan.
Kemudian sebuah pam akuarium yang lebih kecil digunakan untuk menyedut air pada bahagian bawah tong yang telah diasingkan daripada ferum yang terperangkap semasa dalam buih menerusi proses oksigenated selama hampir sejam ke dalam sebuah tong khas (tong kedua) yang diisi bersama pasir dan gegelang-bio.
Air yang telah ditapis tersebut akan disalurkan ke dalam tong ketiga dan sedia untuk digunakan untuk kegunaan seharian.
Menurut Muhd. Muiz, sebanyak 50 peratus kandungan ferum dapat dikurangkan menerusi sistem tersebut dan untuk memastikan air benar-benar bersih, sistem penapisan moden yang terdapat di pasaran boleh digunakan.
Antaranya seperti penapis karbon, seramik dan pelbagai lagi bagi menghapuskan bau dan bakteria yang terdapat di dalam air telaga tersebut.
Ketika ditanya bagaimanakah tercetusnya idea untuk menghasilkan sistem tersebut, Muhd. Muiz memperolehinya ketika melayari internet dan membaca buku berkenaan kandungan air bawah tanah.
Di rumah ada telaga dan airnya digunakan untuk kegunaan seharian, namun tidak sesuai untuk diminum, jadi saya terfikir bagaimana untuk membersihkan air tersebut dan mula mencari di internet dan buku.
Dalam proses pembinaan penapis ferum ini saya turut dibantu bapa dan kini sistem tersebut terbukti boleh digunakan," katanya.
Ujarnya lagi, sistem tersebut sangat sesuai untuk digunakan di rumah yang memiliki telaga sebagai sumber air alternatif.
Sistem ini mudah untuk dibangunkan selain kosnya juga amat murah.
Rekaan saya ini (yang dihasilkan) hanya diperbuat daripada tong dan bahan-bahan terpakai seperti pam akuarium dan mungkin sedikit mahal adalah seperti mesin pengudaraan dan pam air perigi," katanya.
Dia menganggarkan kos pembinaan bagi sistem yang lebih sempurna cuma sekitar RM800 hingga RM1,500 sahaja dan sistem tersebut mampu dimiliki bagi mereka yang duduk di luar bandar.
Sehingga kini sistem tersebut masih belum dikomersialkan dan dia tidak menolak jika terdapat mereka yang berminat berbuat demikian.
Apa yang penting harganya bukan berdasarkan nilai bahan yang digunakan tetapi idea yang tercetus untuk menghasilkannya (sistem)," ujarnya sebagai penutup bicara
© Utusan Melayu (M) Bhd